Pemantauan Proaktif Pastikan Projek Strategik Lawas Capai Sasaran
LAWAS: Kerajaan Sarawak memperkukuh pemantauan berterusan terhadap projek-projek mega di Lawas bagi memastikan pelaksanaannya kekal mengikut jadual, sekali gus menjamin impak pembangunan yang menyeluruh kepada kawasan utara negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pendekatan pemantauan secara proaktif itu membolehkan sebarang isu dikenal pasti lebih awal dan diselesaikan segera tanpa menjejaskan kemajuan projek.
Menurut beliau, antara projek utama yang dipantau termasuk Pusat Akuatik Lawas.
Dalam masa sama, projek Jambatan Lawas di bawah seliaan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah mencatat kemajuan 83.8 peratus dan dijangka siap serta dirasmikan sebelum penghujung tahun ini, sekali gus berpotensi menjadi mercu tanda baharu daerah berkenaan.
Beliau berkata demikian semasa lawatan kerja ke beberapa tapak projek utama di daerah ini melibatkan Pusat Akuatik Lawas, Jambatan Lawas serta Kompleks ICQS Mengkalap pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Kompleks ICQS Mengkalap mempunyai kemudahan mencukupi namun masih berdepan kekangan dari segi kekurangan anggota, manakala isu kawasan ‘No Man’s Land’ di sempadan Brunei dan Malaysia melibatkan cabaran pembangunan infrastruktur yang akan dibawa ke perhatian Kementerian Dalam Negeri untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, bagi Pos ICQS Ba’kelalan, beliau menjelaskan bangunan telah siap dibina namun isu akses jalan masih menjadi cabaran utama, dengan kerja naik taraf kini dalam proses tender selepas peruntukan disediakan kerajaan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Wilayah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Abdul Latip serta Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Sapiah Daud.-EDISI UKAS