Lebih Banyak Syarikat, PKS Digesa Sertai Program Komuniti di Sibu
SIBU: Penglibatan lebih meluas syarikat korporat serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam program komuniti amat digalakkan bagi memperkukuh jaringan sokongan sosial, khususnya kepada golongan memerlukan di kawasan ini.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada sektor swasta merupakan elemen penting dalam menyokong aspirasi kerajaan negeri menerusi agenda pembangunan yang menekankan keterangkuman sosial.
“Dengan adanya sokongan daripada pemimpin komuniti dan organisasi yang komited, kita dapat membina masyarakat Sibu yang lebih berdaya saing dan terlindung daripada sebarang eksploitasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Prihatin: Jalinan Kasih Aidilfitri bersama gelandangan di Pusat Perlindungan Gelandangan (TTG) Sibu pada Khamis.
Dalam pada itu, Abang Mohamad Porkan turut merakamkan penghargaan kepada MTPN Sarawak atas dedikasi dalam melindungi hak pengguna di negeri ini.
Menurutnya, pencapaian MTPN Sibu yang telah mengendalikan lebih 150 aduan sejak Ogos 2023, termasuk isu kompleks seperti penipuan jual beli rumah dan perkhidmatan, membuktikan kredibiliti serta integriti organisasi itu dalam membela nasib rakyat.
“Program hari ini yang melibatkan kerjasama antara MTPN, Pejabat Residen, wakil rakyat, dan sektor swasta seperti Capitol Kopi serta NGO seperti Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Bersatu Sibu (PPWBS), adalah model kolaborasi yang sangat efektif.
“Saya menyeru agar semua agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan terus membuka pintu rundingan dan kerjasama dengan MTPN bagi memastikan ekosistem perlindungan pengguna di Bahagian Sibu kekal teguh dan responsif,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, program tersebut membuktikan tiada mana-mana pihak yang akan dilupakan atau dipinggirkan dalam keluarga besar komuniti.
"Kepada saudara dan saudari yang sedang melalui kesusahan, ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Masih ramai yang prihatin, dan ada komuniti yang sentiasa bersama anda," katanya.
Turut berucap, Yang Dipertua MTPN Sarawak, Lucas Lau yang mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam setiap urusan transaksi.
“Sekiranya hak sebagai pengguna dicabuli, segera dapatkan bantuan daripada MTPN. Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.
“Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, saya yakin MTPN akan terus berperanan sebagai pelindung yang teguh kepada rakyat di Sibu,” tegasnya.-EDISI UKAS