Sistem Perparitan Tersumbat Punca Banjir, Perlu Tindakan Proaktif
MIRI: Sistem perparitan yang tersumbat merupakan salah satu punca utama banjir selain faktor fenomena alam, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau menyeru agensi kerajaan dan penduduk kampung untuk mengambil langkah proaktif dalam membersihkan saliran air bagi memastikan aliran air yang lancar dan mengelakkan kejadian banjir berulang.
“Ketika banjir besar melanda Miri, saya turun padang dan melihat sendiri ada tempat yang air masih bertakung walaupun dua hari tiada hujan.
“Ini bermakna bukan hanya kerana faktor hujan, tetapi juga masalah sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
Dato Sri Lee berkata demikian ketika merasmikan Program Gotong-Royong Perdana Bersama Komuniti di Zon Kampung Pujut Tanjung Batu, Miri, pada Sabtu.
Program ini merupakan inisiatif susulan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri yang diadakan di Pejabat Residen sehari sebelum itu dan merupakan gotong-royong kedua selepas program serupa di Kampung Pujut Adong.
Program gotong-royong ini disertai oleh ahli majlis, kaunselor, ketua masyarakat, agensi kerajaan, serta wakil Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Miri.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapannya, Dato Sri Lee menegaskan kepentingan semangat gotong-royong antara komuniti, sukarelawan, dan agensi kerajaan dalam membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di Bandaraya Miri.
Beliau menggesa semua pihak, termasuk sukarelawan dan agensi berkaitan, untuk bekerjasama dalam usaha pemulihan bagi membantu komuniti yang terkesan.
“Apabila air masuk ke rumah, banyak barang rosak dan sampah bertambah. Kita perlu bertindak segera agar bandar kita kembali bersih serta membantu mangsa-mangsa banjir,” ujarnya.
Beliau juga menekankan peranan penting Jabatan Kesihatan dalam menangani isu kesihatan pasca bencana, termasuk pengurusan bangkai haiwan yang ditemui selepas banjir bagi mengelakkan penularan penyakit.
Inisiatif gotong-royong ini diharapkan dapat membantu mengurangkan kesan bencana serta meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan penyelenggaraan sistem perparitan bagi mengelakkan kejadian banjir berulang. —EDISI UKAS