Naik Taraf Infrastruktur Tanjung Kunyit Tingkat Keselamatan, Keselesaan Penduduk
SIBU: Penduduk di kawasan Tanjung Kunyit kini menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih stabil dan selamat susulan siapnya projek jambatan konkrit ketiga dan naik taraf jalan raya di kawasan tersebut.
Projek yang terletak bersebelahan Gereja Methodist Sang Ik itu menandakan ketersambungan penuh tiga buah jambatan konkrit yang dibina bagi menggantikan struktur kayu lama yang sebelum ini berada dalam keadaan usang dan membahayakan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, projek itu amat penting memandangkan laluan tersebut merupakan akses utama penduduk setempat termasuk pelajar sekolah.
"Sebelum ini, ketiga-tiga jambatan kayu tersebut sempit, malah ada yang hanya boleh dilalui oleh motosikal.
"Mengambil kira keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya, kami telah mengadakan beberapa siri lawatan tapak serta perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan, yang akhirnya membawa kepada pembinaan tiga jambatan konkrit yang bersambung seperti yang kita lihat hari ini," katanya dalam satu kenyataan selepas melakukan pemeriksaan akhir projek berkenaan, pada Jumaat.
Menurut beliau, projek pembangunan ini dilaksanakan menerusi peruntukan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Khas daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tambahnya, pelaksanaan projek itu bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya, malah turut membantu memperbaiki sistem saliran di kawasan berkenaan.
Mengulas mengenai tempoh pembinaan yang memakan masa lebih setahun, beliau menjelaskan bahawa projek tersebut dilaksanakan secara berfasa bagi meminimunkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
"Beberapa cabaran teknikal turut dihadapi semasa proses pelaksanaan, namun semua kerja akhirnya berjaya disiapkan sepenuhnya," tambah beliau.
Turut hadir dalam pemeriksaan tersebut ialah barisan kepimpinan SUPP Bawang Assan termasuk Kaunselor Yong Ing Hock, Penghulu Yong King Sung, Kapitan Chew Hoo Kiong, Kapitan Ting Siew Kiew, serta wakil jurutera daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sibu dan pihak kontraktor.-EDISI UKAS