Infrastruktur dan Telekomunikasi Jadi Keutamaan Pembangunan Tanjong Datu
KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur dan telekomunikasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan penduduk di kawasan selatan Sarawak.
Ketika membahaskan ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pelaksanaan pelbagai projek pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Projek Rakyat dan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) di kawasan Tanjong Datu.
Menurut beliau, tahap konektiviti di kawasan DUN Tanjong Datu kini telah mencapai kira-kira 85 peratus, namun beberapa kawasan masih memerlukan penambahbaikan terutama dari segi pembinaan jalan pertanian.
Katanya, kawasan seperti Kuala Bandang, Telok Nibong, Kampung Sebat Dayak dan Kampung Siru Dayak memerlukan jaringan jalan yang lebih baik bagi memudahkan penduduk mengakses kawasan pertanian mereka dengan lebih selamat.
“Penduduk sebelum ini hanya menggunakan laluan kecil yang agak berbahaya untuk ke kawasan tanah pertanian mereka. Sebab itu, pembinaan jalan pertanian amat diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pembangunan marina di Zon Sampadi yang disifatkan mampu menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan dan rekreasi di kawasan berkenaan.
Menurutnya, projek marina tersebut berpotensi menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa selain membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat khususnya di kawasan Lundu dan Sematan.
Selain itu, Azizul turut mengusulkan pembinaan jalan pesisir dari Sematan ke Telok Melano di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai laluan alternatif yang mampu meningkatkan akses ke kawasan pesisir pantai tanpa menjejaskan kawasan taman negara.
Beliau berkata, laluan tersebut juga mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan ikonik berkonsepkan ‘scenic coastal drive’ seperti yang terkenal di beberapa negara luar.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa kerajaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar khususnya di Lundu dan Sematan yang sedang berkembang pesat.
Katanya, gangguan perkhidmatan telekomunikasi tanpa notis awal masih menjadi antara masalah utama dihadapi penduduk sehingga menjejaskan urusan harian dan situasi kecemasan.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak menara telekomunikasi dapat dibina menerusi projek JENDELA selain menggalakkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi memperluaskan liputan internet ke kawasan luar bandar di Sarawak.- EDISI UKAS