Cadangan Agropark Sokong Agenda Keterjaminan Makanan Sarawak
KUCHING: Cadangan pembangunan Agropark berskala besar di kawasan Beladin dan Buda dilihat mampu menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian moden dan pembangunan ekonomi luar bandar di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata pembangunan Agropark berskala besar itu mampu menjadi pemangkin kepada transformasi sektor pertanian luar bandar.
Menurut beliau, projek tersebut dicadangkan melibatkan kawasan seluas kira-kira 10,000 hektar di Beladin dan Buda yang akan menampilkan konsep pertanian moden dan teknologi pintar.
Katanya, Agropark itu bukan sahaja memfokuskan kepada pertanian komersial berskala besar, malah mengintegrasikan elemen penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi digital serta aplikasi Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam sektor pertanian.
“Agropark ini boleh membuka peluang kepada belia untuk menggunakan teknologi digital dan aplikasi IoT dalam smart dan precision farming,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perbahasan usul penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Dato Razaili berkata kerajaan boleh menarik syarikat agro yang memiliki modal, teknologi dan kepakaran untuk berperanan sebagai ‘anchor company’ dengan kerjasama petani tempatan.
Menurut beliau, pembangunan Agropark berteknologi tinggi itu berpotensi menarik pelaburan industri selain meningkatkan pengeluaran hasil pertanian bagi keperluan domestik dan eksport.
Katanya, langkah tersebut juga selari dengan agenda Sarawak dalam memperkukuh keterjaminan makanan serta pembangunan ekonomi luar bandar berasaskan teknologi dan inovasi pertanian moden.
“Pembangunan Agropark berteknologi dan bersaiz besar akan menarik pemain industri untuk melabur dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil pertanian khususnya produk makanan untuk keperluan domestik dan pasaran eksport,” katanya.
Beliau menegaskan sektor pertanian perlu diperkasa secara strategik agar mampu menjadi antara pemacu utama ekonomi negeri pada masa hadapan selain menjamin keterjaminan makanan Sarawak secara berterusan.-EDISI UKAS