Budaya Turun Padang Berterusan Perkukuh Khidmat Kepada Masyarakat
SIBU: Budaya turun padang secara konsisten perlu diteruskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, pendekatan mendekati masyarakat secara berterusan penting dalam memahami keperluan rakyat serta memastikan pembangunan dapat dirasai di semua peringkat.
“Kita perlu sentiasa berada dekat dengan masyarakat bagi memahami isu serta keperluan mereka dari semasa ke semasa.
“Pendekatan turun padang secara berterusan membolehkan pelbagai perkara dapat diberi perhatian dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tri Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PDP 2026 di Hotel Kingwood, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Henry yang juga Timbalan Presiden PDP berkata, golongan wanita dan belia memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti, khususnya dalam menghadapi perubahan teknologi dan perkembangan semasa termasuk kecerdasan buatan (AI).
Beliau menambah, kepimpinan baharu perlu bersedia memikul tanggungjawab bagi memastikan organisasi terus relevan serta mampu memenuhi keperluan masyarakat semasa.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda PDP David Yeo Ang Lim, Ketua Wanita PDP Agnes Jonep, Martin Ngindang yang mewakili Datuk Martin Ben, Belala Empawi mewakili Dato Sri Fatimah Abdullah, Rosaline Neging mewakili Dato Sri Doris Sophia Brodie, Kaunselor Jenny Ting mewakili Kho Teck Wan, Kaunselor Kelvin Lau Kor Jie dan Kaunselor Franklin Kesong mewakili Ir Christopher Gira Sambang.-EDISI UKAS