Bekalan Air Dan Jalan Raya Masih Cabaran Utama Beting Maro
KUCHING: Kelewatan projek bekalan air bersih serta keperluan menaik taraf jaringan jalan luar bandar terus menjadi fokus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor dalam usaha memastikan pembangunan lebih seimbang untuk rakyat di kawasannya.
Dalam perbahasan usul penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat, beliau menekankan masalah bekalan air dan jaringan jalan raya masih menjadi antara cabaran utama penduduk di kawasan Beting Maro.
Antara dibangkitkan beliau kelewatan Projek Bekalan Air Bersih Kampung Beting Maro yang menurutnya masih belum siap walaupun projek tersebut diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sejak tahun 2021.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan penduduk terus berdepan masalah bekalan air bersih walaupun ia merupakan keperluan asas rakyat.
“Penduduk Kampung Beting Maro masih menunggu bekalan air bersih yang sepatutnya menjadi hak asas setiap rakyat,” katanya semasa berbahas.
Selain itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap masalah tekanan air rendah dan kualiti air yang keruh di kawasan Pusa, Beladin, Spinang dan Semarang terutama ketika musim panas serta musim perayaan.
Katanya, kerajaan dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) perlu mengambil tindakan segera memandangkan bekalan air merupakan kemudahan asas yang amat penting kepada rakyat.
Dalam masa sama, beliau turut memohon agar projek Jalan JPD Batang Maro/Paloh/Perpat yang diluluskan dengan peruntukan RM117 juta dapat dilaksanakan segera bagi meningkatkan jaringan perhubungan luar bandar.
Beliau berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan pembinaan jalan menghubungkan Beladin, Tanjung Asam dan Betong bagi membuka lebih banyak kawasan pembangunan pertanian serta merancakkan ekonomi setempat.
“Kita perlu memperkukuh asas ekonomi kawasan, menjamin sumber makanan, memperbaiki infrastruktur asas dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat supaya kawasan kita lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan semasa,” katanya lagi.
Tegasnya lagi, pembangunan infrastruktur asas perlu dipercepat agar rakyat luar bandar tidak terus ketinggalan dalam menikmati kemudahan dan arus pembangunan negeri. -EDISI UKAS