Perkhidmatan Kepada Rakyat Perlu Ditingkatkan, Selari Dengan Perkembangan Semasa
KUCHING: Perkhidmatan kepada rakyat di seluruh Sarawak perlu ditingkatkan selari dengan perkembangan semasa yang mengkehendaki taraf infrastruktur yang lebih maju.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited meningkatkan perkhidmatan sedia ada kepada rakyat bagi memenuhi keperluan mereka terutamanya di kawasan luar bandar, yang mana taraf hidupnya yang semakin meningkat.
Menurut beliau, dengan peningkatan taraf hidup rakyat ini, Kerajaan Sarawak haruslah menggandakan usaha dalam usaha memberi keselesaan sepenuhnya kepada rakyat wilayah ini.
“Resolusi dari keempat-empat zon iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Betong dan Zon Selatan semuanya meminta pembaharuan di kawasan masing-masing.
“Kalau beginilah keadaan di kawasan luar bandar, kita di dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak hendaklah memperbaiki khidmat kita kepada orang kampung.
“Maka sebab itulah, bajet yang saya umumkan bagi tahun 2025 sebanyak RM15.8 bilion, 70 peratus daripadanya khas kepada orang kampung dan rumah-rumah panjang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB Sarawak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Sabtu.
Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak itu menambah, salah satu tujuan mengadakan perhimpunan dan mesyuarat di setiap cawangan Parti PBB Sarawak adalah untuk mendengar luahan rakyat, yang disalurkan melalui kempimpinan peringkat akar umbi seterusnya disampaikan ke kepimpinan tinggi parti, untuk tindakan sewajarnya.
“Di sini, kita akan mendengar rintihan bagaimana kita hendak memperbaiki lagi keadaan sosio-ekonomi di seluruh Sarawak.
“Kepimpinan di peringkat akar umbi adalah kekuatan kita, dan harus dibela selari dengan dasar kita yang menekankan kelengkapan kemudahan luar bandar sejak dari awal lagi,” ujar beliau lagi.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif sendiri untuk membiayai sebahagian besar projek-projek infrastruktur di luar bandar, memandangkan dana daripada Kerajaan Persekutuan masih tidak mencukupi, malah ada yang lambat sehingga mengganggu perkembangan di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing, Naib-Naib Yang di-Pertua Kanan Parti PBB Sarawak Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Pengerusi Tetap Parti PBB Sarawak Tan Sri Datuk Amar Asfia Awang Nasar, Setiausaha Agung Parti PBB Sarawak Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB Sarawak Datuk Martin Ben serta perwakilan yang lain. -EDISI UKAS