Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Moyan Ulu Lot Pamer Semangat Muhibah
ASAJAYA: Semangat perpaduan dan keharmonian terus diperkukuh dalam kalangan penduduk Kampung Moyan Ulu Lot menerusi penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri pada Sabtu.
Majlis yang dijalankan dengan penuh tradisi itu menjadi platform penting bagi merapatkan silaturahim antara penduduk setempat dengan kepimpinan daerah dalam suasana muhibah dan mesra.
Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin berkata, penganjuran majlis seumpama ini merupakan medium terbaik untuk mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung yang menjadi identiti unik masyarakat Sarawak.
"Majlis ramah tamah seperti ini bukan sekadar acara makan-makan, tetapi merupakan manifestasi kepada keutuhan perpaduan yang kita kecapi selama ini.
"Saya amat berbangga melihat komitmen penduduk Kampung Moyan Ulu Lot yang bersatu padu menjayakan majlis ini, sekaligus membuktikan bahawa hubungan erat antara kaum dan komuniti adalah kunci kepada kestabilan serta kemajuan daerah kita," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Kemeriahan majlis di Lorong 6, Kampung Moyan Ulu Lot itu bertambah seri dengan pelbagai pengisian menarik termasuk acara fesyen show cilik raya yang mempamerkan kecomelan kanak-kanak berbaju tradisi, persembahan karaoke lagu raya, serta agihan duit raya kepada golongan cilik.
Program tersebut turut menyaksikan kehadiran penduduk pelbagai lapisan umur yang bersama-sama meraikan bulan Syawal, sekali gus mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap inisiatif murni di peringkat akar umbi.
Kehadiran kepimpinan daerah juga memberi peluang kepada penduduk untuk berinteraksi secara terus, sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak pentadbiran kerajaan dengan masyarakat setempat demi kesejahteraan bersama. -EDISI UKAS