Pegawai Pusat Khidmat P213 Mukah Bantu Pembersihan Surau Al-Qayyum Pasca Banjir
MUKAH: Seramai 10 pegawai dari Pusat Khidmat Parlimen P213 Mukah bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tegak serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Al-Qayyum berganding bahu membersihkan kawasan surau yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Program pasca banjir ini bertujuan memastikan Surau Al-Qayyum kembali beroperasi dengan selamat dan bersih demi kemudahan penduduk setempat.
Kerja-kerja pembersihan pada Sabtu itu melibatkan penyingkiran lumpur tebal, pelupusan barangan rosak, serta penyusunan semula keperluan asas bagi persiapan solat fardu dan solat tarawih yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat.
Selain pegawai Pusat Khidmat P213 Mukah, program ini turut mendapat sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat tempatan yang bersama-sama bergotong-royong meringankan beban pihak AJK Surau Al-Qayyum.
Usaha ini mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam membantu pemulihan kemudahan awam yang terjejas akibat bencana alam. - EDISI UKAS