KUCHING: Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penemptan Semula (SPS) akan terus dilaksanakana sebagai salah satu usaha perjuangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai komponen penting dalam Kerajaan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Timbalan Yang di-Pertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, spesifikasi pelaksanaan SPK dan SPS juga telah ditambahbaik oleh Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua PBB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Tanah ditembok, parit konkrit, jalan bertar, kemudahan elektrik dan bekalan air. Secara purata kos pelaksanaan setiap lot melibatkan kos RM150,000."
Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB yang disempurnakan oleh Datuk Patinggi Abang Zohari di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Ahad.
Tambah beliau, premium yang dikenakan telahpun dikurangkan kepada RM2,500 sahaja dan boleh dibayar secara ansuran sebanyak 10 kali, menunjukkan keprihatinan Premier Sarawak terhadap perkara ini.
Menurutnya, tidak ada skim-skim seperti ini dilaksanakan di mana-mana negeri di Malaysia dan SPK dan SPS akan terus dilaksanakan selagi diperlukan.
Selain itu, Datuk Amar Awang Tengah memberitahu, Kerajaan Sarawak juga memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik, seperti yang dilaksanakan di Darul Hana dan Kemuyang Sibu menerusi program Urban Renewal (Pembaharuan Bandar).
Ujarnya, Kerajaan Sarawak juga memudahkan bantuan kewangan melalui syarikat milik kerajaan, Mutiara Mortgage and Credit Sdn. Bhd.
”Bantuan khas deposit RM10,000 bagi pembelian rumah pertama kepada golongan sasar M40 juga dilaksanakan,” jelasnya. -EDISI UKAS