Pelajar Baram Digesa Seimbang Cemerlang Sukan dan Akademik
MIRI: Pelajar di kawasan pedalaman Baram disaran untuk mengimbangi kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik sebagai asas membentuk masa depan yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, penglibatan aktif dalam sukan bukan sahaja membina kekuatan fizikal, malah turut menyemai nilai disiplin, fokus serta daya tahan yang penting dalam kehidupan seharian dan pembelajaran.
“Pingat dan kejayaan di atas padang tidak bermakna jika kita tidak membina minda. Anak-anak mesti rajin belajar walaupun berdepan pelbagai cabaran,” katanya ketika merasmikan pelancaran Kejohanan Olahraga Majlis Sekolah-Sekolah Rendah (MSSR) Kali Ke-39 Zon Baram Tengah 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Miri, Baram Tengah, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pelajar agar sentiasa berbangga dengan jati diri sebagai anak Baram walaupun berasal dari kawasan pedalaman yang serba mencabar.
Menurutnya, cabaran seperti perjalanan jauh ke sekolah sama ada menaiki bot atau berjalan kaki bukanlah satu kelemahan, sebaliknya membentuk kekuatan dalaman yang luar biasa.
“Ia mampu menjadi asas kejayaan sekiranya terus dipupuk dengan usaha dan disiplin yang berterusan. Jangan sesekali rasa rendah diri atau beranggapan tidak boleh berjaya hanya kerana berasal dari kampung,” tegas beliau lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap lebih ramai anak Baram akan muncul sebagai golongan profesional seperti doktor, guru dan pemimpin pada masa hadapan.
Sebanyak 13 buah sekolah dari Baram Tengah menyertai kejohanan sukan tahunan tersebut bagi memilih atlet yang akan mewakili zon itu ke kejohanan MSSR peringkat seterusnya di Marudi bermula 20 April ini.
Kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan dalam kalangan pelajar, malah berperanan memperkukuh pembangunan modal insan serta menyemai semangat perpaduan dalam komuniti luar bandar.-EDISI UKAS