i-STEEX 2026 Platform Lahirkan Generasi Inovator Sarawak Bertaraf Global
KOTA SAMARAHAN: Pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan terus menjadi agenda utama Kerajaan Sarawak dalam melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi, selaras aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha tersebut diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk penganjuran program seperti International Science, Technology and Engineering Expo 2026 (i-STEEX 2026) yang menjadi platform penting mencungkil bakat inovasi dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, program seumpama itu mencerminkan komitmen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam menyokong pembangunan pendidikan STEM serta membudayakan inovasi sejak di peringkat sekolah.
“Program seperti ini selari dengan agenda kerajaan Sarawak untuk melahirkan generasi bukan sahaja berilmu, tetapi mampu memimpin perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah i-STEEX 2026 di DeTAR PUTRA pada Khamis.
Beliau menegaskan, penguasaan kemahiran seperti pemikiran analitikal, kreativiti, inovasi serta literasi teknologi amat penting dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi sektor ekonomi masa depan termasuk teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan maju.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris khususnya dalam subjek STEM, sejajar pelaksanaan dasar penggunaan bahasa tersebut dalam pengajaran Sains dan Matematik di Sarawak.
“Menjelang 2027 hingga 2029, lebih banyak subjek sains tulen akan diajar dalam Bahasa Inggeris. Justeru, pelajar perlu bersedia menguasai bahasa ini bagi meningkatkan daya saing,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata kementeriannya mengambil pendekatan proaktif dalam pembangunan bakat dengan tidak lagi menunggu bakat muncul secara semula jadi, sebaliknya membentuk dan membimbingnya sejak awal persekolahan.
Usaha itu turut disokong melalui penyertaan dalam platform seperti WorldSkills Malaysia dan WorldSkills International serta kerjasama erat dengan pihak industri bagi memastikan pelajar memiliki kemahiran yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran kerja.
Pada masa sama, beliau mengiktiraf peranan penting guru sebagai pemangkin utama dalam membentuk minda dan keyakinan pelajar.
“Di sebalik setiap pelajar yang berjaya, terdapat guru yang komited. Peranan pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membentuk cara berfikir dan keyakinan generasi masa depan,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan pelajar untuk berani mencuba, tidak takut gagal dalam proses pembelajaran, serta terus mengembangkan idea bagi mencapai kejayaan di peringkat lebih tinggi termasuk antarabangsa.
Program i-STEEX 2026 yang menghimpunkan penyertaan pelajar dari seluruh Sarawak itu dilihat sebagai medium efektif menghubungkan sekolah, universiti, agensi kerajaan dan industri dalam membina ekosistem pendidikan STEM yang holistik.
Inisiatif berterusan seumpama ini diyakini mampu melahirkan lebih ramai inovator muda, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pembangunan bakat dan teknologi di rantau Borneo.-EDISI UKAS