Kerjasama Curtin Malaysia–DUBS Miri Pacu Pembangunan Keusahawanan Sarawak
MIRI: Kerjasama strategik antara Universiti Curtin Malaysia dan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri menjadi pemangkin utama kepada pembangunan bakat, inovasi dan keusahawanan di Sarawak melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).
MoU berkenaan mewujudkan rangka kerja kerjasama menyeluruh meliputi pembangunan bakat, keusahawanan, penyelidikan gunaan serta penglibatan komuniti, dengan fokus melahirkan graduan berdaya saing dan bersedia memenuhi keperluan industri, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi mampan negeri.
Mewakili Pro Naib Canselor, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Curtin Malaysia, Profesor Tuong-Thuy Vu berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah signifikan dalam merapatkan jurang antara dunia akademik dan industri.
“Kerjasama ini memperkukuh komitmen kami dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten secara profesional, malah memiliki pemikiran keusahawanan.
“Integrasi pengetahuan akademik dengan pengalaman industri sebenar akan membuka ruang kepada inovasi, kebolehpasaran dan impak jangka panjang,” katanya menerusi satu kenyataan media, pada Khamis.
Sementara itu, Pengerusi DUBS Miri, Mohammad Hafidz Rohani menegaskan bahawa MoU tersebut mencerminkan visi bersama untuk membangunkan bakat yang bukan sahaja bersedia untuk bekerja, tetapi juga berupaya mencipta peluang perniagaan.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat memperkukuh perniagaan tempatan, membuka peluang baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif di Sarawak,” ujarnya.
Melalui pemeteraian ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pembelajaran berintegrasi industri, latihan industri, projek berasaskan industri, bengkel serta program pembelajaran berasaskan pengalaman bagi mendedahkan pelajar kepada cabaran sebenar dunia perniagaan.
Selain itu, kerjasama ini turut membuka ruang kepada penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran serta penglibatan profesional melalui syarahan jemputan, seminar dan projek kolaboratif yang berpotensi menarik pembiayaan luar serta menghasilkan penyelidikan yang relevan dengan keperluan industri.
Dalam usaha memastikan impak lebih menyeluruh, kedua-dua pihak turut komited melaksanakan program pembangunan kapasiti komuniti, termasuk bimbingan, khidmat nasihat dan latihan profesional yang menekankan pembangunan beretika, inklusif serta lestari.
Hadir sama, Dekan Fakulti Perniagaan Curtin Malaysia Profesor Pauline Ho dan wakil DUBS Miri Khairul Sapardin Mohamad. -EDISI UKAS