180 Anak Pokok Disumbang Sempena Hari Bumi, MRSM Betong Jadi Tumpuan Program Penghijauan
BETONG: Usaha menyemarakkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda terus diperkasa apabila Jabatan Hutan Sarawak menyumbangkan sebanyak 180 anak pokok sempena Program Penanaman Pokok bersempena sambutan Hari Bumi 2026 yang berlangsung di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Betong pada Rabu.
Program hasil kerjasama antara Jabatan Hutan Sarawak dan MRSM Betong itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 305 peserta terdiri daripada pelajar, guru serta kakitangan sekolah yang berganding bahu menjayakan aktiviti penanaman pokok di sekitar kawasan institusi berkenaan.
Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Pengurusan Hutan), Semilan Ripot berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam menyokong agenda penghijauan serta memupuk nilai cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar sejak di bangku sekolah lagi.
Menurut beliau, pelbagai spesies anak pokok ditanam termasuk spesies hutan bernilai tinggi seperti Belian dan Engkabang, selain pokok landskap serta buah-buahan tempatan yang berpotensi memberi manfaat jangka panjang kepada warga sekolah.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Semilan Ripot bersama Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat MRSM Betong, Hamidah Ali.
Selain aktiviti penanaman pokok, program turut diisi dengan ceramah kesedaran alam sekitar, pertandingan serta pameran inovasi pelajar berteraskan konsep kelestarian sebagai usaha memperkukuh pemahaman dan penghayatan terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam menyokong agenda pembangunan mampan, sekali gus melahirkan generasi masa depan yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.-EDISI UKAS