Pembantu Perubatan Tonggak Pemodenan Sistem Kesihatan Sarawak
BINTULU: Peranan Pembantu Perubatan sebagai barisan hadapan dalam sistem kesihatan terus diperkukuh sejajar dengan keperluan pemodenan perkhidmatan dan peningkatan kualiti penjagaan kesihatan di Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib menegaskan bahawa pemodenan tidak hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi canggih, tetapi turut merangkumi perubahan minda, budaya profesionalisme serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa.
Jelasnya, Pembantu Perubatan memainkan peranan signifikan sebagai penghubung utama antara sistem kesihatan dan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Pada masa sama, beliau mengingatkan agar nilai asas seperti kualiti, keselamatan, empati dan integriti terus menjadi teras dalam setiap aspek perkhidmatan.
“Teknologi mungkin mengambil alih sebahagian tugas, tetapi sentuhan kemanusiaan — keupayaan mendengar, memahami dan menenangkan pesakit — adalah nilai yang tidak akan terganti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu, pada Khamis.
Menurut beliau, sambutan berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya merupakan pengiktirafan kepada profesion yang menjadi benteng sokongan kepada kehidupan masyarakat, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Tema sambutan tahun ini, Memacu Pemodenan Perkhidmatan, Meningkatkan Kualiti Kesihatan, amat bertepatan dengan landskap kesihatan semasa yang menuntut transformasi digital, inovasi perubatan serta pendekatan rawatan yang lebih holistik dan berpusatkan pesakit,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memuji perkembangan profesion tersebut yang semakin matang melalui penglibatan aktif dalam penyelidikan serta amalan berasaskan bukti, termasuk penerbitan Journal of Malaysia Medical Assistants (JOMMA).
Antara inisiatif penting yang diketengahkan termasuk pembangunan Standard Practice Guidelines bagi disiplin Cardio Perfusion dan Cardio Thoracic, pembangunan modul latihan PHCALS serta pelancaran Model Permentoran Penolong Pegawai Perubatan (PPP).
“Semua usaha ini mencerminkan komitmen tinggi dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan setanding dengan piawaian antarabangsa,” jelas beliau.
Mengulas cabaran semasa, beliau berkata sektor kesihatan kini berdepan peningkatan penyakit tidak berjangkit, isu kesihatan mental serta keperluan penjagaan komuniti yang semakin kompleks.
Namun, beliau yakin warga Pembantu Perubatan di Sarawak mampu menghadapinya dengan semangat daya tahan dan setiakawan yang tinggi.
Beliau turut menyeru agar Pembantu Perubatan terus menjadi pelopor perubahan, pemimpin profesion serta pembimbing kepada generasi baharu, di samping memperkukuh semangat kebersamaan dalam sistem penyampaian kesihatan.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Veronica Lugah serta barisan kepimpinan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan wakil persatuan Pembantu Perubatan.-EDISI UKAS