Kejohanan Merentas Desa Peringkat MSSB Sarikei Platform Lahir Bakat Baru
BINTANGOR: Sebanyak 44 sekolah rendah dari Daerah Sarikei, 33 sekolah dari Daerah Julau, dan 29 sekolah dari Daerah Meradong membabitkan seramai 891 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan Merentas Desa Peringkat MSSB Sarikei (Sekolah Rendah) Tahun 2025 yang melabuhkan tirai pada Khamis.
Penutupan kejohanan diadakan di SK Bukit Nibong itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Dalam ucapannya, Datuk Ding berkata penyertaan besar sekolah pada kejohanan tersebut menjadi bukti komitmen yang tinggi daripada pihak sekolah dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakannya.
Beliau berharap kejohanan ini menjadi salah satu platform yang memberi peluang kepada semua pelajar untuk mengembangkan bakat dan memperlihatkan kecemerlangan dalam bidang sukan.
Menurutnya lagi, penganjuran kejohanan ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk menggalakkan murid-murid sekolah memiliki kesihatan tubuh badan yang baik dan bergiat aktif dalam bidang sukan.
Kepada semua atlet yang terpilih, Datuk Ding mahu mereka memperagakan komitmen yang tinggi untuk mewakili sekolah dan daerah masing-masing.
Sebagai tanda sokongan, beliau mengumumkan akan menyalurkan geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada SK Bukit Nibong untuk menjalankan aktiviti tahunan.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati Wan Ahmad, Guru Besar SK Bukit Nibong Rosetha Teo, Ketua Polis Daerah Meradong DSP Sekam Anoi dan tetamu lain. - EDISI UKAS