KUCHING: Syarikat pengeluar pesawat dari China, Commercial Aircraft Corporation of China Ltd. (COMAC) sedang meneroka peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke Sarawak.
Perkara ini dibincangkan di antara Timbalan Premier Sarawak, merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama delegasi COMAC yang diketuai Ketua Pegawai Kewangan, Yu Xihai dalam satu kunjungan hormat di Wisma Sumber Alam di sini pada Khamis.
Dalam kunjungan hormat tersebut, delegasi COMAC telah memperkenalkan produk pesawat keluarannya serta membincangkan potensi kerjasama dengan Sarawak.
Ini sejajar dengan usaha kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sektor penerbangan dan industri berkaitan.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Wei Ping, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dzulkornain Masron serta pegawai kanan dari Kementerian Pengangkutan Sarawak.-EDISI UKAS