Jalan Kampung Nyelitak Ditambah Baik Dengan Peruntukan RM3.1 Juta
BALAI RINGIN: Projek naik taraf Jalan Kampung Nyelitak, yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin kini giat dilaksanakan dan dijangka siap pada September 2025.
Dengan peruntukan sebanyak RM3.1 juta, projek ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan dalam memajukan kawasan di bawah naungan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Tinjauan di tapak projek mendapati aktiviti pembinaan sedang berjalan lancar dengan kehadiran jentera berat, pekerja, serta bahan binaan seperti pembentung.
Kerja-kerja ini dijangka dapat memberikan impak positif terhadap keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya penduduk setempat yang bergantung kepada laluan tersebut untuk aktiviti harian mereka.
Datuk Snowdan menjelaskan, pembangunan infrastruktur yang berterusan merupakan salah satu keutamaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar seperti Balai Ringin.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Sarawak komited dalam membawa lebih banyak kemajuan untuk memperkasa kawasan ini.
Penduduk Kampung Nyelitak pula menyambut baik inisiatif ini dan berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual.
Mereka percaya bahawa projek ini akan memberi manfaat besar dalam meningkatkan taraf hidup serta kemudahan asas kepada komuniti setempat.
Projek ini juga menandakan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar, sejajar dengan aspirasi untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan mengukuhkan lagi kemudahan asas di Sarawak. -EDISI UKAS