Mural Dock Lane Perkasa Identiti Warisan, Tarik Pelancong ke Kuching
KUCHING: Projek mural seni urban di Dock Lane oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh identiti warisan sekali gus meningkatkan daya tarikan pelancongan bandar raya ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, transformasi kawasan itu bukan sahaja menceriakan persekitaran, malah menghidupkan semula nilai sejarah yang pernah menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat.
Menurut beliau, mural yang dihasilkan memaparkan perjalanan sejarah Kuching, termasuk elemen ikonik seperti masjid lama, kawasan tebingan serta kehidupan komuniti terdahulu.
“Jika dahulu kawasan ini tidak semeriah sekarang, namun dengan adanya mural ini, ia memberi nafas baharu dan menjadikan lorong Dock Lane sebagai satu ‘laluan memori’ yang menggambarkan evolusi pembangunan Kuching,” katanya ketika ditemui sempena majlis perasmian mural berkenaan pada Ahad.
Beliau turut memuji usaha DBKU yang berjaya menggabungkan elemen seni, sejarah dan komuniti dalam satu ruang awam yang interaktif dan beridentiti.
“Bandaraya yang mempunyai elemen seni seperti ini akan lebih hidup dan unik. Saya percaya kawasan ini akan menjadi tumpuan pelancong, khususnya sebagai latar belakang bergambar dan aktiviti media sosial,” ujarnya.
Tambah beliau, pembukaan Muzium Brooke kelak dijangka memperkukuh aliran pelawat ke kawasan tersebut, sekali gus menjadikan Dock Lane sebagai antara lokasi persinggahan utama di bandar raya ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan itu suatu ketika dahulu terkenal sebagai lokasi penjaja dan pasar terbuka yang menjadi pusat aktiviti ekonomi masyarakat kira-kira tiga dekad lalu.
Sehubungan itu, pembangunan semula kawasan berhampiran termasuk di sekitar Brooke Dockyard dilihat mampu menghidupkan kembali fungsi tersebut dalam pendekatan lebih moden dan tersusun.
“Elemen penjaja dan pasar terbuka ini mungkin akan dikekalkan atau dibangunkan semula mengikut keperluan semasa, tetapi dalam suasana yang lebih ceria dan selari dengan peredaran masa,” jelasnya.
Sebanyak 17 lukisan mural yang telah mendapat kelulusan kini menghiasi lokasi strategik sekitar bandar raya ini hasil inisiatif DBKU, sekali gus disasarkan menjadi mercu tanda baharu yang memperkukuh daya tarikan pelancongan serta kesedaran terhadap seni awam dan warisan tempatan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ezzah Syafiqah
Foto: George S. Embie