Bantu Elakkan Sri Aman Dilabel Sebagai Sarang Penyalahgunaan Dadah
SIMANGGANG: Ibu bapa dan mereka yang terlibat dalam organisasi pengurusan sekolah dimohon agar membantu mengawasi pergerakan anak serta murid-murid bagi mengelakkan penglibatan mereka dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dan substans terlarang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, tindakan mereka itu penting agar Sri Aman tidak dilabel sebagai sarang kegiatan itu dalam kalangan orang luar.
"Ingin saya tegaskan di sini bahawa ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka turun ke sekolah untuk menimba ilmu agar mereka menjadi seorang yang berjaya kepada keluarga, kampung, negeri dan seterusnya negara apabila dewasa kelak.
"Bagaimanapun, apabila anak-anak terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah serta substans maka ia secara tidak langsung akan merugikan ibu bapa mereka sendiri dan seterusnya memburukkan nama sekolah," katanya semasa menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Luke Sri Aman, pada Ahad.
Datuk Francis Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang juga berharap agar ibu bapa berusaha sebaik mungkin untuk menyedarkan bahaya kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak-anak pada peringkat awal usia mereka.
"Kuncinya adalah peranan ibu bapa. Dengan bantuan guru, risiko pembabitan anak-anak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dapat dikurangkan dan sekali gus menyelamatkan masa depan mereka," katanya.
Menyentuh mengenai kunjungan hari itu, difahamkan ianya bertujuan untuk memohon bantuan bagi membina jalan akses ke padang sukan di belakang SK Saint Luke bagi memberi laluan kepada cadangan naik taraf padang terbabit kepada sebuah gelanggang tertutup yang baharu.
Sekiranya padang sukan berjaya dinaik taraf menjadi sebuah gelanggang tertutup maka ia akan dapat digunakan oleh pihak sekolah bagi tujuan perhimpunan, aktiviti kokurikulum dan acara sekolah khususnya ketika musim panas melampau.
Selain itu, rombongan yang diketuai oleh Guru Besar SK Saint Luke Sri Aman iaitu Madeline Nuli juga memohon kepada beliau untuk membantu melaksana projek pembinaan sebuah blok baharu bagi tujuan pembelajaran murid prasekolah.
Susulan permintaan ini, Datuk Francis Harden pada kunjungan itu kemudiannya meminta pihak LPS dan PIBG sekolah terbabit untuk memohon surat kebenaran daripada pemilik tanah gereja yang dikongsi bersama dengan pihak sekolah bagi membolehkan urusan Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaksanakan.