Projek Pembinaan Ban RM2.5 Juta Simunjan Langkah Besar Tangani Banjir
SIMUNJAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan telah mengadakan sesi dialog bagi membincangkan projek pembinaan ban yang bakal dilaksanakan di Kampung Tebuan Iban, ke Kampung Sekendu dan Taman Hijrah.
Majlis yang dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris pada Selasa bertujuan untuk berbincang dengan penduduk dan pemilik tanah yang terkesan dengan projek ini.
Projek bernilai RM2.5 juta ini dijangka memberi impak besar terhadap kawasan pertanian serta memainkan peranan penting dalam mengatasi masalah banjir yang sering melanda kawasan tersebut.
Awla dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dan menyatakan bahawa projek ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan risiko banjir, tetapi juga memberikan ruang yang lebih baik untuk pembangunan sektor pertanian.
“Dengan adanya sistem tebatan banjir yang lebih efisien, kami yakin ia akan meningkatkan hasil pertanian dan memastikan keselamatan penduduk dari ancaman banjir,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada pampasan akan diberikan kepada pihak yang terkesan kerana projek ini bertujuan untuk kemajuan bersama.
Projek sepanjang 3,299 meter ini termasuk pembinaan dua pintu air, dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.
Dengan kerjasama semua pihak, projek ini diharap dapat memberikan impak positif yang besar dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk, terutama dalam sektor pertanian dan mengurangkan risiko banjir.
Sesi dialog ini turut memberi peluang kepada penduduk untuk menyuarakan kebimbangan mereka, dan segala isu yang timbul akan diberi perhatian serius oleh pihak DID.
Hadir sama dalam sesi ini adalah Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) Anuar Da'an, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad dan Tuai Rumah Kampung Sekendu Baru Taffy Minchong. -EDISI UKAS