Pusat Media UKAS Dilancar Sempena Program Sarawakku Sayang
LIMBANG: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki telah merasmikan Pusat Media Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempena Program Sarawakku Sayang 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Limbang, di sini, pada Jumaat.
Majlis perasmian tersebut menandakan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh penyampaian maklumat serta memperluas akses komunikasi kepada rakyat melalui platform media yang lebih efektif dan bersepadu.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua serta Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Terdahulu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut meluangkan masa menghadiri sesi temu bual siaran langsung di Studio TVS dan Studio Mini RTM bagi berkongsi pandangan serta perkembangan semasa berkaitan Program Sarawakku Sayang 2026.
Program Sarawakku Sayang 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Limbang bermula dari 10 hingga 12 April 2026, menghimpunkan pelbagai aktiviti dan pengisian yang bertujuan mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Ia akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada Sabtu. - EDISI UKAS