Utara Sarawak Pacu Ekonomi Rentas Sempadan, Perkukuh Pasaran Serantau
LIMBANG: Kedudukan strategik utara Sarawak terus menjadi pemangkin utama dalam memperkasa ekonomi rentas sempadan serta memperluas pasaran serantau, sekali gus meletakkan wilayah ini sebagai antara hab pertumbuhan penting di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kawasan seperti Limbang dan Lawas memiliki kelebihan geografi unik kerana bersempadan dengan Brunei Darussalam, Kalimantan (Indonesia), Sabah dan Labuan, yang membuka peluang besar kepada aktiviti perdagangan dan pelaburan.
Menurut beliau, kelebihan tersebut perlu dimanfaatkan secara optimum dengan sokongan sumber sedia ada bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi serta memperkukuh jaringan perdagangan rentas sempadan.
“Kedudukan kita yang strategik ini membuka peluang besar untuk membangunkan perniagaan rentas sempadan atau 'cross-border trade', sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Limbang 2026 yang berlangsung di Dewan Suarah Limbang, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan amalan kunjung-mengunjung, khususnya semasa Aidilfitri, dalam memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama antara masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Katanya, perpaduan yang kukuh menjadi asas kepada kestabilan politik negeri, sekali gus membolehkan kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Tambahnya, Sarawak kini berada pada landasan pembangunan yang progresif dan inklusif, disokong oleh peningkatan hasil negeri yang signifikan.
Hasil tersebut, jelas beliau, dimanfaatkan untuk memperkukuh infrastruktur, memajukan sosioekonomi masyarakat, meningkatkan kebajikan rakyat serta memperkasa pendidikan dan pembangunan kemahiran.
"Sarawak juga giat meneroka bidang baharu seperti ekonomi digital, teknologi berimpak tinggi, tenaga boleh diperbaharui, industri semikonduktor dan aeroangkasa sebagai langkah strategik dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat," tambahnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa serta Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Lousie.- EDISI UKAS