Pegawai CEIO Perlu Berani Tegur Kesalahan Dalam Jabatan
KUCHING: Pegawai Certified Integrity Officer (CEIO) perlu berani menegur sebarang kesalahan dalam jabatan masing-masing bagi memastikan tiada salah guna kuasa berlaku, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato’ Dr Juanda Jaya.
Menurutnya, CEIO mempunyai amanah besar dalam membantu kerajaan memerangi salah guna kuasa bermula dari peringkat akar umbi.
“Bila kita dah dapat amanah sebagai CEIO, kita punya banyak peluang untuk bantu pihak kerajaan memerangi salah guna kuasa bermula daripada peringkat akar umbi.
“Sama ada dengan teguran secara langsung terhadap perlakuan berkenaan atau memaklumkan kepada ketua jabatan tentang hal pentadbiran. Ini kerana perlakuan rasuah bermula daripada ‘mild administration’ dan ia mesti disekat dari awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Citra Diri Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Sarawak di sini pada Khamis.
Dato' Dr Juanda turut menegaskan bahawa pegawai CEIO tidak perlu takut untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kerana perlindungan daripada pihak atasan adalah sesuatu yang pasti.
“Kalau kita berani melakukan tindakan menjaga jabatan masing-masing, perlindungan dari pihak atasan itu adalah sesuatu yang pasti.
“Jangan takut atau gentar fikirkan jika kita mengadu tidak akan dinaikkan pangkat atau dipindahkan jabatan, tapi apakan daya kita sudah menjadi CEIO,” katanya.
Program Citra Diri CEIO Sarawak diadakan bagi memperkasakan pegawai integriti dalam melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan serta memastikan amalan tadbir urus yang telus dan berintegriti dalam perkhidmatan awam.-EDISI UKAS