Enam Kertas Dibentangkan Dalam Mesyuarat JKTMTPM63, Kerajaan Komited Selesaikan Isu MA63
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPM63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof pada Khamis menyaksikan pembentangan enam kertas kerja.
Menurut beliau, kertas kerja melibatkan pembentangan oleh beberapa Kementerian dan Jabatan berkaitan.
“Enam kertas itu adalah Status Tindakan Bagi Perkara-Perkara Di Bawah Kementerian Kewangan; Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Berkenaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Sarawak, Cadangan Pindaan Item 25A (Pelancongan) Dalam Senarai I (Persekutuan) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (PP) Kepada Senarai III (Bersama) Jadual Kesembilan PP, Pembangunan Kawasan Sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan, Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah dan Sarawak dan Laporan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat JKTMTPM63 yang pertama untuk Tahun 2025 di Dewan Persidangan, ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini pada Khamis.
Selain itu jelasnya, laporan berkaitan pembangunan kesihatan dan pendidikan di kedua-dua negeri itu turut dibincangkan.
Dato Sri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, mesyuarat ini amat penting bagi kerajaan untuk merangka langkah susulan yang pragmatik bagi menyelesaikan perkara-perkara berkaitan dengan MA63 yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau menambah, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat ini akan dibawa ke mesyuarat MTPMA63 seterusnya untuk pertimbangan dan persetujuan.
“Sejak pelaksanaan MA63, kerajaan MADANI telah berjaya menyelesaikan sembilan isu berkaitan, antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal di bawah Arahan Perbendaharaan 182, pindaan Akta LHDN 1995, serta pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas dan elektrik kepada kerajaan negeri.
“Selain itu, kadar Pemberian Khas kepada kedua-dua negeri juga dinaikkan kepada RM600 juta secara interim bermula tahun ini,” ujar beliau lagi.
Mesyuarat hari ini memberi tumpuan kepada langkah-langkah untuk menyelesaikan tuntutan yang masih tertangguh di bawah MA63 dan memastikan pelaksanaan perjanjian ini dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali dan Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar. -EDISI UKAS