Liputan Internet Pakan Masih Lemah, Perlu Perhatian Segera
PAKAN: Isu capaian internet yang masih lemah di kawasan Pakan dikenal pasti sebagai cabaran utama yang perlu diberi perhatian segera bagi memastikan pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, walaupun pelbagai inisiatif termasuk pembinaan menara telekomunikasi sudah dilaksanakan, tahap liputan di kawasan tersebut masih tidak memuaskan.
“Secara fizikal, kita nampak menara dan kemudahan sudah ada, tetapi hakikatnya sambungan masih tidak stabil dan liputan tidak menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Jonathan Mingan pada Rabu.
Menurutnya, antara faktor yang turut menyumbang kepada gangguan capaian internet di kawasan berkenaan ialah kes kecurian kabel yang membimbangkan, sekali gus menjejaskan kestabilan rangkaian komunikasi.
Katanya, keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk, terutama apabila isu berkenaan telah lama dibangkitkan namun masih belum diselesaikan sepenuhnya.
Beliau berkata, capaian internet kini menjadi keperluan asas dalam kehidupan seharian, khususnya dalam usaha mentransformasikan kawasan luar bandar ke arah lebih maju.
“Pergerakan, komunikasi dan cara kita berfikir hari ini banyak bergantung kepada internet. Tanpa kemudahan ini, sukar untuk masyarakat luar bandar bergerak ke hadapan,” jelasnya.
Tambah beliau, perkembangan ekonomi digital pada masa kini turut menjadikan capaian internet sebagai elemen penting dalam urusan harian masyarakat.
Katanya, proses jual beli kini banyak menggunakan platform dalam talian termasuk pembayaran tanpa tunai, sekali gus memerlukan sambungan internet yang stabil dan pantas.
Namun begitu, masih terdapat penduduk di kawasan tersebut yang terpaksa menjalankan urusan secara tradisional akibat kekangan capaian internet.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi menambah baik liputan internet di kawasan Pakan demi kesejahteraan dan kemajuan masyarakat setempat. -EDISI UKAS