MTCP Yakin Mampu Kembangkan OKSHE Pacu Pelancongan Sarawak Melalui Inovasi Digital & Pengalaman Imersif
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) yakin mampu mengembangkan ‘Old Kuching Smart Heritage’ (OKSHE) dalam usaha memacu pelancongan negeri ini melalui inovasi digital dan pengalaman yang lebih imersif.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyerahan tugas pengendalian OKSHE yang dahulunya di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kini diambil alih oleh MTCP akan membuka peluang kepada pembangunan program berimpak tinggi, termasuk kandungan digital interaktif, pengalaman pelawat yang lebih imersif serta penglibatan aktif komuniti setempat.
“Dengan penempatan OKSHE di bawah kementerian, kerjasama dapat diperkukuh terutamanya dengan DBKU, memandangkan hubungan kerja yang sememangnya rapat dan kefahaman mereka terhadap peranan OKSHE.
“Saya yakin OKSHE mampu bergerak lebih progresif dan pada masa sama, saya turut memaklumkan kepada Datuk Sabariah, selaku peneraju OKSHE, agar meneliti amalan terbaik di tempat lain dalam memelihara, memulihara dan mempromosikan bandar, lokasi serta komuniti secara lestari berasaskan penglibatan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima OKSHE kepada MTCP yang berlangsung di Bangunan Baitul Makmur II, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan terdapat perancangan masa hadapan untuk menetapkan zon yang dinamakan zon warisan di laluan OKSHE, bagi memudahkan urusan penyelenggaraan bangunan bersejarah.
Untuk merealisasikan perkara ini, beliau menjelaskan Kerajaan Sarawak perlu menggubal dan meluluskan satu undang-undang khas untuk memastikan proses penyelarasan lebih mudah dilaksanakan.
“Apabila sesuatu kawasan dizonkan, kita dapat memberi tumpuan yang lebih jelas terhadap keperluan pembangunan termasuk mengenal pasti bangunan yang memerlukan penyelengaraan dan pemulihan. Untuk merealisasikannya, undang-undang yang bersesuaian perlu digubal dan diluluskan.
“Di sinilah peranan kementerian menjadi penting kerana proses penyelarasan lebih mudah dilaksanakan, termasuk berhubung terus dengan Jabatan Peguam Negeri serta DBKU.
"Melalui pendekatan ini, kita boleh menetapkan zon kawasan secara terancang dan memperkenalkan perundangan yang diperlukan agar pelaksanaan dapat dijayakan dengan lebih berkesan,” jelasnya lagi.
Untuk makluman, OKSHE merupakan inisiatif di bawah Kerangka Ekonomi Digital Sarawak 2018–2022 yang bertujuan memperkukuh sektor pelancongan negeri dengan memanfaatkan teknologi bagi memelihara, mempromosi dan memperkayakan warisan sejarah serta budaya di kawasan bandar lama Kuching.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Menteri MTCP Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Hilmy Othman, Penasihat OKSHE Datu Dr Sabariah Putit, Setiausaha Tetap MTCP Morshidi Fredrick serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS