Kerajaan Sarawak Rangka Pelan Tindakan Baharu, Atasi Isu Air Di Pakan
PAKAN: Pengambilalihan pengurusan bekalan air oleh Kerajaan Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan dijangka dapat mempercepat pelaksanaan projek bekalan air luar bandar, khususnya di kawasan Pakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pendekatan yang lebih terselaras itu diyakini mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek berkaitan demi manfaat rakyat.
Menurutnya, bekalan air bersih di kawasan itu masih belum mencapai tahap memuaskan, walaupun bekalan elektrik di kawasan tersebut telah mencapai liputan hampir seratus peratus.
Katanya, sistem bekalan air sedia ada masih belum mampu memenuhi keperluan harian penduduk setempat secara menyeluruh.
Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini penduduk bergantung kepada sistem air graviti dan air paip terawat, namun kaedah tersebut kini tidak lagi dapat diharapkan sepenuhnya.
“Kita pernah bergantung kepada sistem air graviti dan air paip terawat, tetapi tidak boleh bergantung sepenuhnya kerana sumber air terjejas akibat pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek Program Transformasi Luar Bandar di Rumah Jonathan Mingan pada Rabu.
Tambah beliau, aktiviti perladangan turut menjejaskan kualiti serta sumber air, sekali gus menyebabkan ia tidak lagi selamat digunakan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kementerian berkaitan telah merangka pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani isu bekalan air di kawasan luar bandar.
Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan projek bekalan air dapat dipercepatkan bagi memastikan penduduk di Pakan memperoleh akses air bersih yang lebih stabil dan berterusan. -EDISI UKAS