Projek Jalan Utama Kedua Sarawak Pacu Kesalinghubungan Sri Aman-Betong
BETONG: Projek pembinaan Jalan Utama Kedua Sarawak di bawah Pakej B4 yang menghubungkan cadangan Jambatan Batang Lupar No. 2 di Sri Aman ke persimpangan Betong di Lebuh Raya Pan Borneo kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 76.68 peratus.
Projek bernilai RM292.06 juta itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan tempoh pembinaan selama 42 bulan dan dijangka dibuka secara berperingkat kepada pengguna jalan raya bermula Ogos 2026.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata projek berkenaan amat penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan antara Sri Aman dan Betong selain meningkatkan aksesibiliti penduduk di kawasan sekitarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan pada Rabu.
“Projek ini amat penting dalam meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan ini. Justeru, komitmen semua pihak termasuk kontraktor amat diperlukan bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Skop projek melibatkan pembinaan jalan dua lorong satu hala sepanjang 27.84 kilometer dengan naik taraf piawaian jalan daripada JKR R3 kepada R5.
Selain itu, projek turut merangkumi pembinaan dua jambatan jenis ‘triple span’, kerja pemindahan utiliti, pembangunan infrastruktur baharu, kerja awam, pemasangan lampu jalan, penandaan jalan serta papan tanda.
Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dengan menyediakan laluan perjalanan lebih lancar dan selesa selain memendekkan tempoh perjalanan antara Sri Aman dan Betong.
Malah, pembinaan jalan itu turut membuka akses lebih baik kepada kawasan rumah panjang dan kampung di sepanjang Jalan Lidong sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.
Dengan perkembangan semasa yang memberangsangkan serta pemantauan berterusan pihak berkaitan, projek berkenaan dilihat berada di landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkelili, Dr. Johnical Rayong Ngipa, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon Tuan serta Group Managing Director Verde FM Sdn Bhd, Dato Franky Chua.- EDISI UKAS