Program Pengagihan Bubur Lambuk Di Samarahan Berlangsung Penuh Semangat
KOTA SAMARAHAN: Program Pengagihan Bubur Lambuk anjuran Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Pihak Pekerja Pentadbiran Bahagian Samarahan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Muara Tuang serta Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Samarahan berlangsung dengan penuh semangat di pekarangan Masjid Darul Taqwa, Kampung Muara Tuang.
Persiapan memasak dan mengagihkan bubur lambuk bermula seawal jam 8 pagi, melibatkan kerjasama erat antara kakitangan pentadbiran bahagian Samarahan, penduduk kampung serta sukarelawan dari pelbagai agensi.
Acara simbolik pengagihan bubur lambuk telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang sejurus selepas solat Jumaat.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak, Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, Pegawai Daerah Gedong, Tamida Da'adi, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad, wakil Pegawai Daerah Sebuyau, Tahir Putih, Pegawai Tadbir IRSDA, Anuar Da'an, Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Chek Bujang serta Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Taqwa Kampung Muara Tuang, Awang Khairulamilin Awang Hasbi.
Sebagai tanda penghargaan, Pengerusi MBJ Pihak Pekerja Pentadbiran Bahagian Samarahan, Mohamad Hadi Datuk Bolhen turut menyampaikan cenderahati kepada Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang atas sokongan beliau terhadap program ini.
Sebanyak 500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada agensi dan jabatan kerajaan serta 300 penduduk setempat bermula jam 1.30 tengah hari.
Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara jabatan dan masyarakat tetapi juga menyemarakkan semangat kebersamaan dalam menyambut Ramadan.-EDISI UKAS