Agricop Perkasa Pendapatan Petani Luar Bandar Di Tatau
TATAU: Tanaman kelapa sawit terus menjadi pemangkin utama peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar susulan harga komoditi itu yang kekal stabil dan dijangka terus meningkat, dipengaruhi perkembangan geopolitik global khususnya di Timur Tengah.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, selain kelapa sawit, tanaman kopi khususnya varieti liberica turut mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran global sebagai produk premium yang mendapat permintaan tinggi di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, kedua-dua sektor tersebut akan terus diberi sokongan melalui inisiatif Mid Rajang Regional Development Agency (MiRRDA) bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
“Industri kelapa sawit bukan sahaja menjadi sumber pendapatan utama, malah turut menghasilkan biodiesel yang mesra alam serta menyumbang kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika merasmikan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Lenny Diana, Rantau Tajak, Jalan Samarakan, pada Jumaat.
Beliau menambah, bantuan penanaman kelapa sawit akan difokuskan kepada golongan yang masih belum mengusahakan komoditi tersebut, sekali gus membuka peluang menjana sumber pendapatan baharu dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan komuniti luar bandar memanfaatkan kemahiran sedia ada khususnya dalam penghasilan kuih-muih tradisional untuk dikembangkan dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS).
Katanya, penghasilan produk hiliran seperti sos cili, kek dan pelbagai produk makanan lain berpotensi besar untuk dikomersialkan, sekali gus menambah nilai kepada hasil pertanian serta melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing.
Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah yang mewakili Pengarah Pertanian Sarawak, Peter Jarit memaklumkan bahawa sebanyak empat Program AgriCOP telah dilaksanakan di kawasan DUN N60 Kakus, dengan program di Tatau merupakan yang pertama dianjurkan di kawasan tersebut.
Beliau berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada komuniti setempat melalui perkongsian maklumat serta latihan bagi memperkasakan sektor pertanian agar mampu menjana pendapatan lebih tinggi.
“Program ini juga membantu meningkatkan kemahiran dan daya saing petani luar bandar melalui pendekatan praktikal dan berfokus,” jelasnya.
Program AgriCOP turut menampilkan kursus pemprosesan cili serta pengurusan tanaman kelapa sawit bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pertanian lebih efektif dalam mengoptimumkan hasil.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu, Jackson Nanta Bernabas Baie serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Tatau, Raden Azamry Raden Perhan.-EDISI UKAS