DUN Balai Ringin Terus Terima Limpahan Dana Kerajaan
BALAI RINGIN: Konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balai Ringin terus menerima limpahan dana daripada kerajaan apabila pelbagai projek berimpak tinggi bernilai ratusan juta ringgit dilancarkan bagi mentransformasikan landskap sosioekonomi kawasan itu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, antara tumpuan utama ialah penyelesaian isu bekalan air apabila Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meluluskan peruntukan sebanyak RM110 juta bagi menaiktaraf Loji Air Pantu.
Katanya, projek itu merangkumi pembinaan tangki berkapasiti sehingga enam juta liter bagi menampung keperluan penduduk dari Pantu hingga ke Jaong.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian Program Bersama Komuniti Siri 1/2026 dan Majlis Penyerahan Sijil Lantikan dan Lanjutan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Balai Ringin, pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin turut mendedahkan, pembangunan infrastruktur jalan turut dipergiat apabila projek menaiktaraf Jalan Kampung Tuba sepanjang 42 kilometer kini dilaksanakan dengan kos RM265 juta.
Projek berskala besar itu dijangka meningkatkan aksesibiliti serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) pula, jaringan jalan luar bandar terus diperkukuh melalui projek Jalan Kampung Ubah ke Kampung Empaling bernilai RM39 juta serta sambungan ke Kampung Isu dengan tambahan peruntukan RM7 juta.
Kerajaan turut melihat potensi sektor pelancongan sebagai pemangkin ekonomi baharu dengan cadangan pembangunan Wong Jaban sebagai destinasi eko-pelancongan melibatkan anggaran kos RM4.6 juta.
Seiring dengan agenda pembangunan fizikal, usaha memperkukuh tadbir urus komuniti turut diberi perhatian melalui penganjuran Program Bersama Komuniti yang kini memasuki siri ketiga pelaksanaannya.
Dalam program sama, sebanyak 46 sijil pelantikan baharu dan perlanjutan telah disampaikan kepada penghulu, tuai rumah dan kapitan sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka memimpin komuniti.
Hadir sama, Pegawai Daerah Pantu Raca Mulong, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Sri Aman Michealson Nisen serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS