ADUN Simunjan Tinjau Pusat Kawalan Tempat Kejadian OP SAR Di Sungai Simunjan
SIMUNJAN: Prihatin dengan kejadian orang hilang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah melakukan lawatan serta tinjauan ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian Operasi Mencari dan Menyelamat (OP SAR) di Sungai Simunjan, pada Sabtu.
Lawatan itu bagi meninjau perkembangan operasi mencari orang hilang yang dilaksanakan oleh pasukan penyelamat sekaligus memberi sokongan moral kepada anggota pasukan yang terlibat dalam operasi SAR.
Dalam lawatan tersebut, Awla turut diberi taklimat mengenai situasi semasa operasi yang dikendalikan oleh pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bekerjasama dalam usaha mencari mangsa.
“Saya datang untuk memberi sokongan kepada pasukan yang terlibat dan memastikan bahawa usaha mereka berjalan dengan lancar.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi ini kerana mereka bekerja keras demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” kata Awla ketika ditemui.
Selain itu, Awla juga menekankan pentingnya kerjasama antara pihak berkuasa dan komuniti setempat dalam menangani insiden seperti ini dengan lebih efisien.
Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan penduduk setempat untuk sentiasa berhati-hati terutama ketika melakukan aktiviti berhampiran sungai atau kawasan berisiko tinggi dan sentiasa mematuhi peringatan keselamatan yang diberikan oleh pihak berkuasa.
Operasi mencari dan menyelamat ini masih berlangsung dan pihak berkuasa akan terus berusaha keras untuk mencari mangsa hilang tersebut.
Sebelum ini, mangsa yang dikenali sebagai Hamil Hamdan, 43, dari Kampung Sageng dilaporkan telah keluar menangkap ikan di Sungai Sageng Simunjan pada 13 Mac lalu namun sehingga sekarang belum balik ke rumah.-EDISI UKAS