Program Agihan Bubur Lambuk Diteruskan Di Simunjan
SIMUNJAN: Program agihan bubur lambuk yang menjadi tradisi setiap tahun sempena bulan Ramadan diteruskan di Daerah Simunjan dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Samarahan, KRT Kampung Nanas dan KRT Taman Hijrah, Persatuan Sosial Komuniti Kampung Nanas (PSKKN) dan JKKK Kampung Nanas Hilir, Tengah serta Hulu menjadi penyelaras dan bergabung dalam usaha ini.
Program tersebut bertujuan untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat pelbagai kaum di kawasan ini serta mengeratkan ikatan perpaduan di kalangan penduduk setempat.
Agihan bubur lambuk ini melibatkan penyediaan dan pembahagian lebih daripada 900 pek bubur lambuk dan bubur kacang yang diagihkan kepada peniaga bazar Ramadan, pengunjung bazar Ramadan serta penduduk setempat.
Program yang berlangsung di Padang Sentral Simunjan ini mendapat sambutan yang amat baik daripada masyarakat setempat, dengan para penerima mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas sumbangan yang diberikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris turut hadir dalam program agihan bubur lambuk tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas usaha mereka dalam menjayakan program ini.
“Ini adalah inisiatif yang sangat baik dalam mengeratkan hubungan perpaduan antara masyarakat di Simunjan, khususnya dalam bulan yang penuh barakah ini.
"Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat dalam bentuk makanan tetapi ia juga membuka peluang untuk kita bersama-sama dalam semangat kekeluargaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama,” kata Awla ketika ditemui pada Sabtu.
Beliau juga berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan perpaduan di kalangan masyarakat terus kukuh dan saling menghormati.
Penerima bubur lambuk pula melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan pihak penganjur yang terus memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Program agihan bubur lambuk ini dijangka akan diteruskan ke beberapa kawasan lagi di Daerah Simunjan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat dan dapat merasai kemeriahan Ramadan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Pegawai Perpaduan, Jabatan Perpaduan Bahagian Samarahan Diana Seliman, Pengerusi Persatuan Sosial Komuniti Kampung Nanas (PSKKN) Abdul Khalik Udaini serta Ketua-ketia Kaum Kampung Nanas Hilir, Tengah dan Hulu.-EDISI UKAS