Sarawak Perkukuh Industri Pelancongan Melalui Pendekatan Inklusif
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memperkukuh industri pelancongan negeri melalui pendekatan inklusif dengan menghimpunkan semua pemain industri bagi meneliti perancangan, cabaran serta penambahbaikan sektor tersebut secara menyeluruh.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak yang melibatkan kementerian, agensi kerajaan, wakil Residen serta pemain industri berkaitan.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju industri pelancongan negeri termasuk mengenal pasti isu serta mendapatkan maklum balas terus daripada pihak industri.
“Industri pelancongan mempunyai skop yang luas dan melibatkan pelbagai sektor. Justeru, kita menghuraikan perancangan bagi tahun ini serta meneliti cabaran yang dihadapi selain mendengar pandangan daripada pemain industri sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima teguran dan pandangan konstruktif bagi menambah baik sistem sedia ada.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk pengurusan sisa di kawasan taman negara serta aspek penyaluran geran kepada penganjur acara yang boleh diperhalusi bagi meningkatkan keberkesanan.
“Walaupun perkara ini bersifat kecil, kita amat menghargai maklum balas yang diberikan kerana ia membantu kita memperbaiki kelemahan,” jelasnya.
Mengulas prestasi semasa, Dato Sri Abdul Karim berkata, industri pelancongan Sarawak kini berada pada tahap memberangsangkan dengan lonjakan ketara saban tahun.
Beliau optimis momentum itu akan terus diperkasa menerusi kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri dalam memastikan Sarawak kekal sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Pelancaran Sarawak Creative Industry Directory 1.0 yang turut diadakan menandakan satu lagi mercu tanda penting dalam usaha Kerajaan Sarawak memperkasa dan memperkukuh pembangunan industri kreatif secara lebih sistematik dan berdaya saing.-EDISI UKAS