Program Komuniti Rapatkan Jurang Kerajaan & Rakyat Di Sarikei
SARIKEI: Inisiatif mendekati rakyat melalui program komuniti terus diperkasa menerusi Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2026 yang menjadi platform strategik merapatkan jurang antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat di bahagian ini.
Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan berkata, penganjuran program seumpama itu merupakan medium berkesan dalam memperkukuh jaringan kerjasama, selain menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
"Interaksi secara langsung antara kepimpinan dan komuniti penting bagi memastikan hubungan yang lebih erat serta responsif terhadap keperluan rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis anjuran Pejabat Daerah Sarikei dengan kerjasama Rajang Delta Development Agency (RADDA) serta KMKK Melayu Melanau itu di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, sambutan Aidilfitri bukan sahaja diraikan sebagai perayaan, malah dimanfaatkan sebagai ruang memperkukuh nilai kebersamaan, keharmonian dan persefahaman dalam komuniti.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis tersebut, khususnya Pejabat Daerah Sarikei, RADDA serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Melayu Melanau.
Majlis tersebut turut menghimpunkan pelbagai lapisan kepimpinan termasuk Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong, Timbalan Residen Badjuri Bidin serta pemimpin masyarakat setempat.
Penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh hubungan akar umbi, sekali gus memastikan keharmonian dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.-EDISI UKAS