Sarawak Kekal Fokus Perkukuh Pelancongan Secara Berterusan
KUCHING: Pendekatan pelancongan tidak seharusnya bergantung kepada kempen bermusim seperti Tahun Melawat Malaysia, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan industri kekal mampan dan berdaya tahan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa beliau secara konsisten berpegang kepada prinsip bahawa setiap tahun adalah tahun melawat, selaras dengan keperluan industri yang memerlukan perancangan jangka panjang.
Menurut beliau, walaupun Tahun Melawat Malaysia dilanjutkan susulan situasi global semasa, pendekatan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai usaha bermusim semata-mata.
“Bagi saya, setiap tahun adalah tahun melawat. Industri pelancongan ini perlu diberi perhatian secara konsisten kerana ia merupakan sektor penting kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, perancangan serta peruntukan bagi sektor pelancongan perlu diurus secara tahunan dan berterusan, bukannya bergantung kepada kempen tertentu sahaja.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim berkata, Sarawak kekal optimis terhadap prestasi industri pelancongan negeri meskipun berdepan cabaran global termasuk peningkatan kos perjalanan akibat situasi geopolitik semasa.
Jelasnya, kenaikan kos tiket penerbangan berikutan pelaksanaan caj tambahan oleh syarikat penerbangan dijangka memberi kesan kepada ketibaan pelancong antarabangsa.
Namun, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan memperkukuh pelancongan domestik sebagai strategi utama.
“Pelancongan domestik akan terus diperkasakan termasuk pergerakan dalam negeri sendiri kerana ia turut menyumbang kepada ekonomi melalui perbelanjaan pelancong,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, pelbagai acara termasuk program hiburan, festival makanan dan kebudayaan akan diperluas di seluruh Sarawak bagi menarik kehadiran pengunjung.
Beliau yakin langkah tersebut mampu merancakkan pergerakan pelancong dan seterusnya membantu Sarawak mencapai sasaran lima juta pelawat tahun ini.
“Dengan perancangan rapi dan kerjasama semua pihak, saya percaya industri ini akan terus berkembang dan kekal berdaya saing,” katanya.- EDISI UKAS