FIesta Komuniti Miri, Pesta Bubuk 2026 Perkukuh Pelancongan Lestari & Ekonomi Tempatan
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengumumkan penganjuran dua acara utama, Fiesta Komuniti Miri dan Pesta Bubuk 2026 pada 17 hingga 18 April ini, sebagai usaha memperkukuh pelancongan lestari serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, kedua-dua program tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam mempromosikan warisan tempatan di samping menyokong agenda pembangunan mampan bandar raya ini.
Menurutnya, Fiesta Komuniti Miri: Festival Lestari SDG yang dijadualkan pada 17 April akan dimulakan dengan aktiviti gotong-royong “Clean & Win!” di Tamu Batu 1, melibatkan penyertaan komuniti dalam usaha menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
“Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek bandar mampan dan tindakan perubahan iklim, selain menyokong pertumbuhan hijau,” katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.
Pelbagai pengisian turut diadakan di Balairaya Batu 1 termasuk aktiviti kanak-kanak, sesi kesedaran bersama pihak polis dan pakar psikiatri, serta pertandingan hiasan gerai Hari Raya yang menekankan kesejahteraan komuniti.
Pada sebelah malam, program diteruskan dengan Majlis Berlanggar Meja sempena Aidilfitri dan persembahan bermukun di Dewan Serbaguna Batu 1 bagi mengeratkan hubungan masyarakat.
Kemuncak acara pada 18 April menyaksikan penganjuran Pesta Bubuk 2026 yang mengetengahkan tradisi unik penangkapan bubuk, sejenis udang kecil bermusim yang sinonim dengan masyarakat Miri.
Antara tarikan utama termasuk Bubuk Challenge, Bubuk Master Chef, bengkel kompos DIY, pemeriksaan kesihatan, pameran, jualan makanan tempatan serta sukan rakyat seperti Sepuk Challenge dan gusti lengan.
Adam Yii menambah, penganjuran acara ini turut menyokong pembangunan ekonomi tempatan melalui penglibatan usahawan kecil di samping mempromosikan Miri sebagai destinasi pelancongan mampan.
Orang ramai termasuk pelancong dijemput hadir memeriahkan kedua-dua acara berkenaan yang dijangka menarik kehadiran pengunjung serta memperkenalkan keunikan budaya tempatan.- EDISI UKAS