Bangunan Warisan Rumah Jururawat Lama Dikekalkan, Projek Mitigasi Banjir Diteruskan
KUCHING: Projek mitigasi banjir yang sedang dilaksanakan di sekitar Hospital Umum Sarawak (HUS) akan diteruskan dengan beberapa penyesuaian bagi mengekalkan struktur utama bangunan warisan Kuaters Jururawat Lama di Jalan Tun Abang Haji Openg.
Keputusan ini diambil bagi mengimbangi keperluan pengurusan banjir dengan usaha pemuliharaan warisan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, berkata kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai pusat utama projek mitigasi banjir kerana kedudukannya di kawasan tanah rendah yang sering mengalami masalah banjir, terutama ketika air pasang besar.
“Pada awalnya, semua struktur di kawasan ini perlu dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek ini.
“Namun, setelah mengambil kira nilai sejarah bangunan Rumah Jururawat Lama, kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengekalkan struktur utama bangunan ini.
“Sebagai gantinya, sebahagian kolam takungan yang dicadangkan sebelum ini akan dipindahkan ke kawasan baharu di bahagian tenggara, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa perancangan negeri,” katanya dalam Sidang Media Lawatan Tapak Rumah Jururawat Lama Kuching di sini pada Khamis.
Menurutnya, langkah ini adalah hasil pendekatan berasaskan komuniti, di mana maklum balas masyarakat diambil kira dalam membuat keputusan.
Sarawak Heritage Society (SHS) turut menyambut baik keputusan kerajaan negeri yang menitikberatkan pemuliharaan warisan sambil memastikan langkah pengurusan banjir tetap berkesan.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah menyatakan bangunan Rumah Jururawat Lama yang dipulihkan akan dijadikan Anjung Kasih, iaitu pusat penginapan sementara percuma bagi keluarga pesakit kurang berkemampuan yang mendapatkan rawatan di HUS.
“Kita telah memperuntukkan bajet untuk pemulihan bangunan ini, namun saya merasakan jumlahnya masih tidak mencukupi. Mungkin kita boleh memohon tambahan peruntukan daripada kerajaan bagi memastikan bangunan ini benar-benar dapat digunakan untuk tujuan tersebut,” tambahnya.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) akan menjadi penyelaras bagi pelaksanaan projek pemulihan bangunan ini.
Dengan keputusan ini, kerajaan negeri berharap dapat mencapai keseimbangan antara keperluan infrastruktur dan pemeliharaan warisan, sekali gus memenuhi keperluan rakyat serta memastikan identiti dan sejarah Sarawak terus terpelihara.-EDISI UKAS