KUCHING: Pertandingan The International Inter-Varsity Public Speaking Competition (IIPSC) 2026 menjadi platform penting dalam memperkasa kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keupayaan berhujah dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan menghadapi keperluan ekonomi berteraskan inovasi menjelang 2030.
Perkara tersebut ditegaskan menerusi ucapan penutupan yang disampaikan Ketua Bahagian Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Sharifah Fariah Syed Junaidi mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn semasa Majlis Penutupan IIPSC 2026 di Tegas Digital Village pada Isnin.
Menurut beliau, walaupun bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi terus diberikan penekanan, keupayaan menyampaikan idea secara jelas dan meyakinkan merupakan faktor penting dalam menentukan kejayaan sesuatu inovasi.
“Idea yang hebat boleh gagal sekiranya tidak disampaikan dengan baik. Justeru, kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal serta keupayaan berhujah berasaskan fakta perlu terus diperkasa dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris sebagai medium utama untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menyokong agenda pembangunan mampan global.
Pertandingan yang julung kali dianjurkan di peringkat universiti itu turut menyaksikan penyertaan antarabangsa, termasuk wakil dari Universitas Panca Bakti, Pontianak, Indonesia, sekali gus memperkukuh hubungan serantau dalam bidang akademik dan pembangunan bakat.
Selain itu, format pertandingan secara berpasangan yang diperkenalkan dilihat mampu memupuk semangat kerjasama, tanggungjawab bersama serta meningkatkan keyakinan diri peserta dalam menyampaikan hujah secara berkesan di hadapan khalayak.
Bagi keputusan pertandingan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak muncul johan menerusi gandingan Zara Adilia Fathiah dan Christian Angel Terry yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.
Tempat kedua dimenangi Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang yang diwakili Liew Hui Yee dan Nathanael Querysmar Christus dengan hadiah wang tunai RM1,500.
Manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Swinburne University yang diwakili Ewen Elisha Khoo Kim Suan dan Angeline Michelle Bong Siew Lian yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.-EDISI UKAS