BCCB Jadi Pemangkin Pemeliharaan Warisan Bidayuh, Perkukuh Perpaduan Komuniti
BAU: Bidayuh Cultural Centre Bau (BCCB) berperanan sebagai pusat pemeliharaan warisan budaya masyarakat Bidayuh serta platform yang memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pusat budaya tersebut menyediakan ruang kepada masyarakat untuk berkumpul, berinteraksi dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang mencerminkan adat resam serta tradisi masyarakat Bidayuh di Bau.
Menurut beliau, kewujudan BCCB juga membuka peluang kepada masyarakat untuk mengetengahkan budaya, bakat dan keunikan warisan mereka kepada generasi muda serta para pengunjung.
“Apabila kita mempunyai pusat budaya, ia menjadi ruang untuk masyarakat bertemu dan mengadakan kegiatan-kegiatan budaya yang mencerminkan adat resam serta budaya masyarakat di Bau yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Bidayuh.
“Di sinilah mereka dapat menonjolkan budaya, cara berinteraksi sesama sendiri serta bakat yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian BCCB serta Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Tasik Biru di sini pada Isnin.
Premier Sarawak menambah, penghayatan terhadap budaya dan tradisi yang dikongsi bersama mampu memperkukuh hubungan antara masyarakat sekali gus mewujudkan perpaduan yang lebih erat.
Menurutnya, semangat perpaduan yang terjalin menerusi aktiviti kebudayaan boleh dijadikan contoh kepada komuniti lain dalam usaha memelihara keharmonian serta memperkukuh hubungan sosial.
Pada majlis tersebut, sebanyak 1,316 lot tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak telah diserahkan kepada 1,142 penerima melibatkan kawasan Apar, Tabong, Segong, Tanjong Poting, Grogo, Sibuluh dan Banan.
Selain itu, sebanyak 793 lot tanah di kawasan SALCRA turut diserahkan kepada 655 penerima yang melibatkan kawasan Jagoi OPE dan Bratak OPE.
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut menyerahkan Warta Rizab Komunal Bumiputera bagi Kawasan Banan (Kampung Grogo/Sibuluh) seluas 121 hektar serta Kawasan Senggi-Poak, Jalan Batu Kawa, Tondong (Kampung Atas) seluas 9.7 hektar.-EDISI UKAS