KMKK Perkukuh Penyampaian Agenda Pembangunan Di Daro
DARO: Komitmen tinggi yang ditunjukkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Tanah Besar Daro terus menjadi pemangkin penting dalam memastikan agenda pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata peranan yang dimainkan oleh KMKK dan JKKK sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat amat penting dalam memastikan setiap dasar, program dan bantuan kerajaan dapat disampaikan kepada golongan sasar.
Menurut beliau, komitmen yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan akar umbi itu turut membantu memperkukuh pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan di kawasan Daro sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi KMKK Tanah Besar Daro yang berlangsung di RH Hotel di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut menghimpunkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum, ahli-ahli JKKK dari seluruh kawasan Tanah Besar Daro serta turut dihadiri ketua-ketua jabatan sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap peranan yang dimainkan oleh barisan kepimpinan akar umbi.
Sehubungan itu, Dr. Safiee merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh KMKK dan JKKK Tanah Besar Daro yang telah memberikan kerjasama dan sokongan berterusan kepada kerajaan serta beliau sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat.
“Peranan KMKK amat besar dalam membantu kerajaan menyampaikan dasar, menyalurkan maklumat serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peranan KMKK benar-benar terserlah apabila mereka berada di barisan hadapan membantu kerajaan mengurus dan menyampaikan bantuan kepada rakyat yang memerlukan,”ujarnya.
Tambah beliau, pengalaman tersebut membuktikan bahawa kekuatan jentera pembangunan di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Majlis apresiasi berkenaan turut menjadi platform untuk mengiktiraf sumbangan dan dedikasi KMKK serta JKKK dalam memperkasakan pembangunan komuniti, selain mengukuhkan hubungan silaturahim dan semangat kebersamaan antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan penduduk setempat.-EDISI UKAS