Sarawak Jadi Tonggak Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan & Bahasa Sukuan
KUCHING: Sarawak terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, di samping menjadi contoh terbaik dalam usaha memelihara dan mengembangkan bahasa-bahasa sukuan negara.
Sarterawan Negara merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, sumbangan Sarawak dalam pembangunan bahasa dan persuratan negara tidak dapat dipisahkan daripada sejarah perkembangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khususnya sejak penubuhan DBP Cawangan Sarawak hampir lima dekad lalu.
Menurutnya, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-70 DBP yang berlangsung di Bumi Kenyalang, jasa tokoh-tokoh Sarawak yang memperjuangkan agenda bahasa kebangsaan wajar terus dikenang, terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak keempat yang juga Ketua Menteri Sarawak Ketiga, Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya'kub.
“Sejarah mencatatkan bahawa pada awal 1970-an, Tun Abdul Rahman Yaakub selaku Ketua Menteri Sarawak ketika itu telah menggesa agar DBP masuk ke Sarawak bagi memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan serta memacu pembangunan sastera dan ilmu di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Ke-70, yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, di sini pada Isnin.
Menjelas lanjut, Datuk Dr. Anwar memberitahu, Sarawak juga menjadi antara negeri terpenting dalam agenda pemeliharaan bahasa etnik dan bahasa sukuan yang menjadi sebahagian daripada khazanah budaya negara.
Ujarnya, DBP telah memainkan peranan besar dalam mendokumentasikan dan mengembangkan bahasa-bahasa tersebut menerusi penerbitan pelbagai kamus serta bahan rujukan ilmiah.
"Antara kejayaan yang dibanggakan ialah penerbitan Kamus Bahasa Iban-Melayu Dewan, Kamus Melanau Mukah-Melayu Dewan dan Kamus Melayu Sarawak-Melayu Dewan yang menjadi rujukan penting dalam usaha memelihara warisan bahasa masyarakat tempatan.
“Usaha melestarikan bahasa sukuan dan dialek tempatan termasuk bahasa-bahasa di Sarawak perlu diteruskan kerana kekuatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan turut diperkaya oleh kepelbagaian bahasa serumpun yang wujud di negara ini," tambahnya lagi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa DBP akan memperluaskan program dan aktivitinya hingga ke peringkat akar umbi bagi memartabatkan bahasa, sastera dan budaya ilmu, selain memperkukuh pemerkasaan Bahasa Melayu serta pemuliharaan bahasa sukuan menerusi Rancangan Strategik DBP 2026–2030 yang memanfaatkan pendigitalan, data raya bahasa dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Hadir sama di majlis tersebut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Hazami Jahari dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr. Azizul Ismail.-EDISI UKAS