Galeri Kebudayaan Orang Ulu Bakal Jadi Mercu Tanda Budaya Di Miri
MIRI: Sarawak terus memperkukuh usaha pemeliharaan warisan budaya dengan pembangunan Galeri Kebudayaan Orang Ulu yang bakal menjadi pusat budaya utama bagi masyarakat Orang Ulu serta tarikan pelancongan baharu di Miri.
Langkah ini dimeterai dalam majlis menandatangani perjanjian kontrak antara Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) dan Impact Design Associates Sdn Bhd, yang berlangsung di sini, pada Rabu.
Impact Design Associates Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam reka bentuk muzium dan galeri, diberi kepercayaan untuk merealisasikan pembangunan galeri ini di Pusat Kebudayaan Orang Ulu FORUM, Jalan Padang Kerbau.
Majlis turut disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden FORUM merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, dan Pengarah Urusan Impact Design Associates Sdn Bhd, Ho Min Yung.
Bangunan FORUM, yang bakal menempatkan galeri ini dijangka dirasmikan oleh Premier Sarawak pada suku ketiga tahun 2025.
Pembangunan galeri ini dianggap sebagai langkah penting dalam memelihara, mengangkat dan memperkenalkan kekayaan budaya Orang Ulu kepada generasi baharu serta pelancong.-EDISI UKAS