KUCHING: Langkah Kerajaan Sarawak memperkenalkan bantuan khas bagi menangani peningkatan kos sara hidup disambut baik sebagai usaha strategik dalam melindungi kesejahteraan pengguna di negeri ini, khususnya dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) berpandangan bahawa kenaikan kadar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) merupakan antara inisiatif signifikan yang mampu membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapatkan keperluan asas tanpa tekanan kewangan yang melampau.
Selain itu, pemberian diskaun 25 peratus bil elektrik dilihat berupaya mengurangkan beban perbelanjaan bulanan isi rumah, sekali gus memberi ruang kepada pengguna mengurus kewangan dengan lebih stabil.
Dalam masa sama, diskaun 50 peratus sewaan premis kepada peniaga kecil turut memberi impak tidak langsung kepada pengguna apabila ia membantu mengekalkan harga barangan dan perkhidmatan pada kadar berpatutan.
Presiden PPS, Dr Wynson Ong Teck Ping berkata, inisiatif yang diumumkan kerajaan itu merupakan langkah proaktif dan signifikan dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.
“Inisiatif yang diumumkan ini merupakan satu langkah proaktif yang amat signifikan dalam membantu pengguna menghadapi tekanan kos sara hidup.
"PPS berharap agar setiap bantuan yang disalurkan dapat memberi impak langsung kepada rakyat serta memastikan pengguna tidak terus terbeban dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, PPS menegaskan kepentingan langkah berterusan dalam memastikan kesejahteraan pengguna kekal terpelihara, terutama ketika berlakunya kesan rantaian daripada konflik global yang mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan di pasaran tempatan.
Pada masa sama, pengguna dinasihatkan supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mengutamakan keperluan harian bagi mengelakkan pembaziran.
PPS turut menyeru peniaga agar tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan memandangkan subsidi sedia ada seperti subsidi minyak masih dikekalkan dan seharusnya membantu menstabilkan kos operasi.
Selain itu, orang ramai digalakkan memainkan peranan aktif dalam memantau harga pasaran dan melaporkan sebarang kenaikan harga tidak munasabah kepada pihak PPS untuk tindakan lanjut.
Langkah pemantauan yang berterusan diyakini mampu memastikan setiap bantuan yang diumumkan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, sekali gus memperkukuh kesejahteraan pengguna secara menyeluruh di Sarawak.-EDISI UKAS