Kerjasama Kerajaan-Industri Diperkukuh Melalui Dialog Pengambilan Pekerja Bukan Sarawak
BINTULU: Kerjasama strategik antara kerajaan dan industri terus diperkukuh menerusi penganjuran program ‘Industry Update and Dialogue on Regulatory Requirements and Procedures for Recruitment of Non-Sarawakian Workers in Sarawak’ yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.
Program anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU), Jabatan Premier Sarawak itu menghimpunkan pelbagai pemain industri serta pihak berkepentingan bagi membincangkan keperluan dan prosedur kawal selia berkaitan pengambilan pekerja bukan rakyat Sarawak.
Antara sektor yang terlibat termasuk pembuatan, perkayuan dan perhutanan, minyak dan gas, kelapa sawit, pembinaan serta perkhidmatan, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh pematuhan, tadbir urus dan pengurusan tenaga kerja.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua berkata, penganjuran program tersebut merupakan satu pencapaian penting sebagai inisiatif kolaboratif pertama antara ILMU dan PUSAKA, dengan sesi susulan dijangka diadakan di Kuching.
Menurut beliau, penglibatan berterusan antara kerajaan dan industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar buruh serta rangka kerja peraturan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
“Program seperti ini amat penting bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat, tetapi juga bagi mendengar maklum balas industri.
“Ini memastikan dasar dan sistem kita kekal relevan, efisien serta responsif kepada keperluan pemain industri,” katanya semasa berucap dalam program berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pendekatan Transformasi Pekerja Asing (FWTA) Sarawak memperkenalkan beberapa inisiatif digital seperti JobSarawak, SANSOLS dan EXPRT bagi memperkemas proses pengambilan pekerja serta meningkatkan ketelusan.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar PUSAKA Haluyah Awi yang mewakili Pengurus Besar PUSAKA Datu Zainal Abidin Abdullah, menegaskan bahawa pengurusan pekerja bukan rakyat Sarawak kekal sebagai elemen penting dalam menyokong pertumbuhan sektor perindustrian negeri.
Beliau berkata, majikan perlu sentiasa peka terhadap perubahan keperluan peraturan agar operasi berjalan lancar di samping menjaga kebajikan tenaga kerja.
Program tersebut turut berperanan sebagai platform perkongsian maklumat terkini melibatkan pindaan Ordinan Buruh Sarawak, prosedur permohonan pas pekerjaan, keperluan pelesenan buruh serta usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan penggunaan platform digital baharu yang mampu meningkatkan kecekapan serta ketelusan dalam pengurusan tenaga kerja.
Sesi dialog interaktif yang diadakan memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak pengawal selia, mendapatkan penjelasan serta berkongsi cabaran operasi yang dihadapi di lapangan.
Pendekatan kolaboratif ini sekali gus memperkukuh hubungan antara sektor awam dan swasta dalam usaha membina ekosistem pekerjaan yang lebih adil, telus dan mampan.
Penganjuran program ini juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menekankan aspek tadbir urus, pematuhan peraturan serta penerapan inovasi digital ke arah meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi Sarawak.-EDISI UKAS