Empat Penerima Di DUN Tellian Terima Manfaat Dana CSR Jabatan Tanah dan Survei
MUKAH: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian menerima peruntukan sebanyak RM50,000 menerusi inisiatif Bantuan Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah.
Majlis penyerahan bantuan dana tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine di pejabat jabatan berkenaan, pada Rabu.
Menurut Royston, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan kebajikan masyarakat luar bandar terus diberi perhatian, terutamanya dalam aspek pendidikan dan kesejahteraan komuniti.
“Saya berharap agar penerima memanfaatkan peruntukan ini dengan sebaik mungkin terutamanya bagi meningkatkan kemudahan sekolah serta memperkukuh aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi,” katanya.
Menyentuh mengenai program tersebut, beliau memberitahu bahawa pelaksanaan CSR oleh agensi kerajaan memainkan peranan penting untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, seiring dengan pembangunan inklusif.
Ujarnya, pelaksanaan program CSR bukan sahaja memberi bantuan kewangan, tetapi juga mengukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat melalui kerjasama yang berterusan.
Sehubungan itu, Royston menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi.
“Ini bagi memastikan lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan DUN Tellian khususnya yang memberi tumpuan kepada pendidikan, infrastruktur asas dan pembangunan sosial.
“Kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dapat memberi manfaat berpanjangan kepada semua,” katanya lagi.
Tambahnya, usaha seperti ini perlu diteruskan agar tiada yang tercicir daripada arus pembangunan.
Untuk makluman, penerima Bantuan Dana CSR bagi kawasan DUN Tellian ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Sikat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Randi Ugil, Rh Empi Daweh dan Rumah Minggu Garung.
PIBG SK Nanga Sikat menerima peruntukan berjumlah RM20,000 dan tiga lagi menerima RM10,000. - EDISI UKAS