MPKN Sarawak Perkukuh Peranan Koperasi Sebagai Pemacu Ekonomi Inklusif
KUCHING: Usaha memperkukuh gerakan koperasi di Sarawak terus diperkasa melalui platform strategik Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Negeri (MPKN) Sarawak yang berperanan menyelaras hala tuju pembangunan sektor berkenaan secara lebih tersusun, inklusif dan berkesan.
Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Kuching pada Rabu.
MPKN menghimpunkan wakil Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, agensi berkaitan serta gerakan koperasi bagi membincangkan perkembangan semasa selain memperkukuh kerjasama antara semua pihak berkepentingan dalam pembangunan koperasi negeri.
Dalam mesyuarat tersebut, penekanan diberikan kepada usaha meningkatkan kapasiti dan daya saing koperasi melalui pengurusan profesional, peluasan akses pembiayaan serta penyediaan fasiliti perniagaan yang lebih komprehensif termasuk peluang promosi ke peringkat perdagangan antarabangsa, khususnya dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global.
Seiring pertumbuhan pesat pelaburan di Sarawak, koperasi digesa memainkan peranan lebih aktif dalam meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat dengan memanfaatkan peluang dalam rantaian nilai dan bekalan.
Dalam tempoh lima tahun lalu, nilai pelaburan yang diluluskan di negeri ini melebihi RM116 bilion, termasuk lebih RM16 bilion pada tahun 2025 sahaja.
Selain itu, koperasi turut disaran meneroka sektor ekonomi baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa, semikonduktor, pendigitalan serta keterjaminan makanan sebagai langkah memperluas sumber pendapatan dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
Prestasi gerakan koperasi Sarawak sehingga 31 Disember 2025 menunjukkan perkembangan positif dengan 1,212 koperasi berdaftar melibatkan 323,122 anggota, jumlah syer dan yuran sebanyak RM232.32 juta, aset RM718.59 juta serta perolehan RM486.92 juta.
MPKN terus menjadi platform penting dalam mengenal pasti cabaran serta merangka penyelesaian mampan dengan sokongan berterusan agensi seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia.
Melalui kerjasama bersepadu semua pihak, gerakan koperasi diyakini mampu kekal relevan, berdaya saing dan seterusnya menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan di Sarawak.-EDISI UKAS